Sunday, August 30, 2009

Bukan Simbol Penindasan

Hijab bukanlah simbol penindasan.

Hijab bukanlah simbol penindasan. Hijab bukanlah simbol kemunduran wanita. Hijab bukanlah simbol kejatuhan martabat wanita.

Hijab merupakan atau dalam erti kata yang lain menutup aurat mengikut syariat Islam merupakan satu kewajipan bagi setiap wanita Islam. Hijab merupakan satu simbol kuasa bagi seseorang wanita. Dengan menutup aurat, wanita itu secara tidak langsung berhak dan berkuasa mengawal pandangan orang lain, terutama sekali mereka yang bukan mahramnya, daripada melihat bahagian tubuhnya yang memang dilarang kerana dibimbangi boleh menimbulkan anasir-anasir yang kurang elok.

Hijab juga merupakan simbol ketegasan peribadi wanita dan menaikkan martabat wanita. Dengan memakai hijab, seseorang wanita itu tidak akan dinilai daripada kecantikan fizikal sahaja, malah daripada sudut kebijaksanaan dan kewibawaannya juga. Keterampilan yang sementara tidak lagi menjadi faktor penilaian harga diri seseorang wanita. Namun, kecantikan hakiki, lahir dari jiwa yang ikhlas, sekaligus dapat dimanifestasikan melalui budi pekertinyalah yang akan menjadi faktor perdana dalam penilaian diri seseorang wanita itu.

Namun, hijab bukanlah sekadar mengenakan tudung dan memakai pakaian yang menutup aurat ketika kita berhadapan dengan mereka yang bukan mahram. Hijab merupakan satu pakej yang merangkumi adab, akhlak dan cara pembentangan diri kita sebagai seorang Muslim. Hati kita perlu sentiasa bersih dengan bersangkaan baik dan perbanyakkan zikrullah. Lantaran itu, tutur bicara kita serta peribadi kita perlulah sentiasa dikawal agar ianya tidak mengandungi sembarang makna yang boleh menyinggung perasaan orang lain ataupun mencetus amarah daripada mana-mana pihak seperti peribahasa cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Tanggungjawab kita sebagai hamba, anak, ibu mahupun penggerak masyarakat perlu dilaksanakan selagi ianya berlandaskan syariat Islam. Seseorang wanita itu juga perlulah sentiasa bersifat tawaduk dan merendah diri dalam pertuturannya seperti peribahasa baik membawa resmi ayam betina.

Bukan itu sahaja, cara berpakaian bagi mereka yang mengenakan hijab perlulah longgar dan tudungnya perlulah menutup bahagian di dada. Gagal melaksanakan perkara tersebut akan membuat seseorang itu digelar “minah tudung”. Ini merupakan satu label yang amat menyedihkan kerana wanita yang mengenakan hijab sepatutnya membawa imej Muslimah hakiki. Dengan gelaran sedemikian, rasa hormat dan penghargaan terhadap Muslimah akan dipandang serong bukan sahaja oleh masyarakat kita sendiri, tetapi oleh masyarakat lain.

Hijab disebabkan faktor dipaksa oleh orang tua ataupun faktor usia bukanlah sebab yang baik. Sekiranya seseoang itu dipaksa atau terpaksa memakai tudung tanpa memahami erti hijab yang sebenarnya, keikhlasan hati untuk memakai hijab tidak dapat dimanifestasikan melalui kulikat hariannya. Memang kita dapat lihat di sana sini ramai yang mengenakan hijab tetapi perilakunya amat menjengkelkan. Inilah astaka realiti yang memang pahit untuk ditelan tetapi memang perlu direnungkan. Darihal itu, status Muslimah yang berhijab tidak lagi dapat diagung dan dihargai, malah akan diejek dan dijadikan sebagai satu simbol keruntuhan akhlak.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa untuk menjadi seorang pemakai hijab sepenuh masa memerlukan kesabaran, keyakinan diri dan kekentalan jiwa yang tinggi. Dalam era globalisasi ini, pelbagai dugaan spiritual yang perlu kita lalui.

Yvonne Ridley, seorang wartawan terkenal yang menganuti agama Islam setelah jatuh cinta pertama kali dia membaca Al Quran, mengatakan bahawa dia menganggap wanita yang mengenakan hijab sebagai manusia yang pendiam dan simbol penindasan sebelum mengenali Islam. Namun, setelah menghayati signifikan dan hikmah di sebalik hijab, dia menganggap wanita yang mengenakan hijab sebagai seorang yang berwibawa, konfiden, berbakat dan mempunyai daya tahanan diri yang kuat dari sudut batin.

Akhir kata, hijab bukanlah simbol penindasan, kemunduran dan kejatuhan maruah wanita. Sebaliknya, hijab merupakan senjata untuk menyelamatkan wanita daripada terjebak dalam lembah maksiat. Hijab juga merupakan simbol kekuatan dan ketegasan wanita. Wanita yang berhijab sepatutnya dihormati dan dipandang tinggi kerana mereka amat mementingkan kecantikan hakiki, bukan kecantikan fizikal yang sementara.

Sesungguhnya, penulisan saya pada kali ini hanyalah sekadar pendapat saya berdasarkan pengalaman saya semata-mata. Ambil pati, buanglah hampasnya.

Hasil karya: Nur Amalina Shalan

Thursday, August 6, 2009

karangan saya

Ibu bapa atau anda yang menentukan kerjaya anda. Bincangkan.


Menurut kamus dewan edisi ketiga, kerjaya membawa maksud profesion atau pekerjaan dipilih sebagai cara mencari nafkah. kehidupan seharian adalah salah satu perkara yang paling mustahak untuk menentukan bagi kepastian kehidupan masa hadapan. seperti di singapura dimana taraf penghidupan adalah tinggi, kepastian memiliki kareer yang stabil amatlah penting. Persoalannya, adakah ibu bapa kita ataupun diri kita yang menentukan kerjaya kita?

Minat adalah salah satu sebab seseorang individu memilih sesuatu kerjaya. Dan kerana minat, individu tersebut layak menentukan kerjayanya. Tanpa minat, ia mungkin dapat menjejaskan keadaan kehidupan seseorang. contohnya, jika seseorang individu tersebut memilih kerjaya akauntan, tetapi minatnye lebih keoada sains. Sudah tentu kerjayanya akan terjejas.

Seseorang invidu itu berhak menentukan kerjayanya kerana dialah yang akan bekerja dan bukan ibu bapanya. Individu tersebut lebih mengetahui kekuatan dan kelemahan dirinya dalam sesuatu bidang atau profesion. Walaupun ibu bapa telah mengasuh dan mendidik anak mereka sejak kecil lagi, tetap mereka kurang mengenali diri anak tersebut daripada diri anaknya itu. Misalnya, ibu bapa kurang berpengetahuan tentang suasana persekolahan yang mungkin telah membentuk minat atas anak tersebut terhadap sesuatu.

Jika ibu bapa yang menentukan kerjaya anak mereka, ia mungkin akan menimbulkan beberapa masalah. Contoh, anak memilih untuk bekerja di pejabat atas permintaan ibu bapa. anak tersebut tidak gemar pekerjaan yang melibatkan kerja di dalam pejabat, tetapi di atas desakan ibu bapa, anak tersebut sanggup melakukannya. Lama-kelamaan, anak tersebut akan menghadapi masalah dalam perkerjaannya tersebut. Ini akan menjejaskan kestabilan kehidupannya pada masa hadapan.

Ada juga ibu bapa yang mempunyai impian untuk anak mereka menjadi seseroang yang tertentu. Contohnya, jika ibu bapa mahukan anaknya menjadi seorang doktor tetapi anaknya tidak mahu, ini akan menjejaskan pilihan kerjaya anak mereka.

Walaupun ibu bapa lebih berpengalaman dalam kehidupan , yang lebih layak menentukan kerjaya adalah anak itu sendiri. Ibu bapa boleh memberikan sokongan dan nasihat kepada anaknya. Dan sebaiknya juga si anak meminta pendapat ibu bapanya tentang kerjaya yang telah dia pilih.

Pada keseluruhannya, kita yang menentukan kerjaya, bukan ibu bapa. Ibu bapa sebaiknya memberikan perangsang dan motivasi.

Tuesday, August 4, 2009

KERJAYA, PILIHAN SIAPA?

Segulung ijazah sudah berada didalam genggagaman. Hari Konvokesyen dan masa-masa gemilang sudah pun berlalu. Sekarang, kerjaya harus dipilih. Ibu bapa mula bercampur tangan. Si anak mahukan sesuatu yang dia minati manakala orang tua mahukan sesuatu yang dapat menjaminkan masa depan anaknya. Siapa yang patut kita utamakan? Pilihan si anak atau kemahuan si orang tuanya?

Kerjaya adalah pekerjaan atau profesion yang dipilih sebagai wadah mencari nafkah. Pemilihan yang tepat dan padat dapat menjamin kehidupan dan masa depan seseorang itu. Tidak dapat dinafikan lagi akan ada beberapa faktor yang akan menjejas pemilihan ini. Antaranya ialah minat seseorang individu, cita-cita orang tua yang telah sekian lama bekerja keras agar kita dapat didikan yang terbaik untuk mencapai impian mereka dan stigma sosial yang dikemukakan terutama sekali oleh mereka yang terdekat dan masyarakat secara umumnya.

Stigma sosial akan lebih lagi menjejas pemilihan orang tua individu yang dipersoalkan. Sudah sedia maklum bahawa ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anaknya. Mereka terlebih dahulu telah makan garam dan merasakan jerit perih kehidupan. Mereka juga orang yang terdekat dengan individu tersebut yang telah menempuh alam pekerjaan. Jadi, wajarlah jika mereka memilih kerjaya sekaligus masa depan kita kerana mereka mengetahui apa yang lebih baik bagi kita dan apa yang dapat dunia tawarkan.

Si anak pula mula berdebat. Bukankah mereka sendiri yang lebih mengetahui dan memahami diri masing-masing? Bukankah mereka sendiri lebih mengetahui kelemahan dan kekuatan diri mereka? Dari perspektif individu, minat menjadi antara penyebab perdana mereka memilih kerjaya yang bakal ditempuh. Jika seseorang itu mempunyai minat yang mendalam terhadap mata pelajran yang tertentu, teranglah dia akan lebih cenderung untuk melakukan sesuatu yang ada kena-mengena dengan subjek tersebut. Misalnya, si anak amat berminat terhadap mata pelajaran Matematik dan ingin menjadi seorang akauntan manakala ibunya inginkan si anak menjadi seorang doktor. Susahlah bagi si anak untuk memberikan kata putus tentang pemilihan kerjayanya demi tidak mengecilkan hati yang telah banyak berkorban untuk dirinya.

Sebelum apa-apa lagi, ibu, apabila melahirkan anak dan kemudiannya ayah yang telah menyekolahkannya, telah mempunyai harapan yang menggunung untuk melihat si anak berjaya hingga ke menara gading. Orang tua siapa yang tidak mahu melihat anaknya berjaya? Dari situ, mereka akan berusaha membentuk si anak agar dia lebih cenderung terhadap kemahuan mereka sejak kecil lagi. Ini akan memudahkan kedua belah pihak dimana kedua-duanya mempunyai matlamat yang serupa dan dapat berganding bahu untuk mencapainya.

Masalah mungkin berlaku apabila si anak menentang keras akan kemahuan orang tuanya. Anasir-anasir lain yang menjejas penukaran kecenderungan ini akan menyemarakkan lagi kemahuan si anak. Didalam situasi yang ekstrem, perbalahan mungkin berlaku dan ini akan menyusahkan lagi keadaan. Mungkin untuk 'menyelamatkan' anaknya daripada menyesal di kemudian hari, mereka akan melakukan perkara yang mustahil yang dapat menjadikan si anak melakukan perkara yang tidak disukai. Sebagai contoh, sekiranya si anak ingin sekali mengharungi bidang seni tetapi orang tuanya percaya bahawa bidang ini penuh dengan cabaran yang mungkin si anak tidak dapat hadapan. Orang tuanya mungkin berpendapat bahawa ancaman mereka untuk tidak membiayai persekolahan si anak akan menghambat semarak api yang membara untuk mencapai cita-citanya sekaligus dapat menyelamatkan masa depan si anak. Situasi ini mungkin tidak adil bagi pihak si anak.

Akhir kata, pemikiran yang rasional akan dapat menemukan jalan keluar yang terbaik. Didalam konteks ini, si anak dan orang tuanya haruslah sama-sama berbincang tentang masa depan si anak kerana ianya sesuatu yang amat berharga. Meskipun impian orang tua tidak tercapai, iringlah anaknya dengan sokongan moral dan nasihat agar dia senantiasa dapat menjadi warganegara yang membanggakan. Bak pepatah melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Monday, August 3, 2009

Maryam Dan Kerjaya

Yang si ibu mahukan anaknya menjadi seorang ustazah. Yang si anak pula, amat meminati bidang seni dan mengimpikan sebuah kerjaya dalam bidang perekaan fesyen. Di sini datangnya dilema. Si anak mentaati dan menuruti impian si ibu, ataupun si ibu membiarkan anak mencapai kebahagiaan dalam mengejar cita-citanya?

Siapakah yang benar-benar berhak mimilih kerjaya seseorang? Kita yang memilih atau ibu bapa kita? Kita semua maklum bahawa ibu bapa kita telah hidup di muka bumi ini lebih lama daripada kita, melalui asam garam hidup dan menempuh perit jerihnya. Jika mengikut logik, sesungguhnya mereka lebih tahu apa yang lebih baik untuk kita daripada diri kita sendiri.

Tetapi, bukankah kita lebih mengenali diri kita daripada orang lain? Takkan orang lain yang mengetahui apa makanan kegemaran kita jika kita sendiri tidak tahu apa yang kita sukakan? Sama juga dengan kerjaya. Semestinya, kerjaya seharusnya terutama sekali dipilih kerana minat. Apa gunanya menjadi profesor Matematik jika kita meminati Bahasa Melayu? Walaupun gaji seorang profesor Matematik lebih lumayan daripada seorang guru Bahasa Melayu, sanggupkah kita bekerja untuk selamanya untuk sesuatu yang tidak disukai kerana desakan ibu bapa untuk memilih kerjaya yang dapat memberikan kita keselesaan hidup?

Namun, kita harus akur bahawa ibu bapa juga mempunyai cita-cita menggunung untuk melihat anak mereka meraih ijazah dan menjadi seorang yang membanggakan. Dari cita-cita inilah mulanya ibu bapa cuba menolak si anak ke jalan yang dimahukan mereka. Selepas Peperiksaan Peringkat O, hendak ke mana ya, tanya si anak. Oh, sambung sahajalah ke madrasah, jawab si ibu, bolehlah kamu jadi ustazah. Dalam diam si anak mencebik. Hendak buka topik menyasarkan politeknik dan kejuruteraan, terus diri sendiri ‘disasarkan’ dengan madrasah dan bidang agama.

Tambahan pula, ibu bapalah yang selama ini berhempas pulas mencari wang untuk membiayai pendidikan si anak. Ada di antara kita sering berdebat dengan diri tentang hal ini. Ibu bapaku yang selama ini mengeluarkan wang untuk duit yuran, duit jajan harian dan tuisyen bulanan. Takkan aku mula membayar balik jasa mereka yang tidak terhingga dengan tidak mengejar kerjaya yang bukan sahaja mereka impikan, tetapi membuat mereka senang dan gembira? Jika diteruskan juga mengejar impian yang bertentangan dengan impian ibu bapa, mungkin si ibu bapa bersuara; mereka tidak mahu membiayai pengajian kita.

Dari ini, timbul pula masalah lain. Sanggupkah kita bekerja malam dan belajar pada waktu siang kerana minat? Bukan sahaja jika ibu bapa kita tidak berpuas hati, bagaimana jika keadaan menetapkan ibu bapa kita bukan tidak suka, tetapi tidak mampu? Tegakah kita meminta kebenaran memasuki bidang perubatan di sebuah universiti terulung walhal kita sedar ibu bapa kita masih tidak mampu untuk mebiayainya walaupun selepas kita bekerja sambilan dan juga mendapatkan biasiswa?

Oleh itu, jika seseorang itu bertanggapan bahawa memang dirinya yang patut memilih kerjaya yang dimahukannya, pastikanlah ia kerjaya yang betul. Sudahlah kita tidak mahu menjadi peguam seperti diimpikan ayah, kita membuang duitnya pula dengan memutuskan bahawa minat kita sudah pula beralih kepada rekaan dalaman rumah, hanya selepas kita menggenggam segulung ijazah dalam bidang kejuruteraan. Tidakkah hancur berderai hati ibu dan ayah? Kalau tidak peguam, jurutera pun jadilah. Tapi ini, setakat seorang pereka dalaman rumah sahaja? Bukanlah tidak gah, tetapi ibu bapa semua mengimpikan sebuah kerjaya yang disanjung tinggi oleh masyarakat untuk anak mereka.

Akhir kata, si ibu bapa pula janganlah menaruh harapan yang tinggi sangat. Ketahuilah tahap kebolehan anak. Jika si anak memang selalu mendapat gred C dalam buku rekodnya, jangan pula disuruh anak menjadi doktor. Barangkali, si anak sedar dirinya hanya mampu menjadi seorang jururawat. Lagipun, seorang doktor hanya melihat pesakitnya sejam dua di dalam bilik pembedahan tetapi seorang jururawat sentiasa berada di sisi sejurus ditekan butang panggilan. Mungkin dari segi taraf, menjadi seorang jururawat itu lebih rendah. Tetapi, jasanya juga sama besarnya. Oleh itu, walaupun tidak dapat dikecapi impian mereka, ibu bapa harus rela dan terus memberi sokongan moral dan nasihat kepada anak mereka agar menjadi insan yang berguna kepada masyarakat.

kerjaya.

Ibubapa atau anda yang menentukan kerjaya anda ? Bincangkan.

Setiap kali umur kita bertambah, ibubapalah orang yang akan memikirkan tentang masa depan kita. Secara lumrah, setiap ibubapa mahu anaknya menjadi seorang guru,doctor,juruterbang atau kerjaya yang menghasilkan banyak wang dan sekali gus menaikkan taraf keluarga kita.Tetapi siapa yang menetukan kerjaya kita ? Ibubapa atau kita sendiri ?


Sejak kita kecil lagi, ibubapa kita sudah mempunyai impian untuk menentukan kerjaya kita.Mereka akan mula mengumpul duit bagi menampung perbelanjaan sekolah kita di masa hadapan nanti.Ada di antara kita yang membantah tindakan ibubapa kerana ketiadaan minat di dalam diri mereka untuk bidang yang ditentukan oleh ibubapa.Tanpa minat,sesuatu yang ingin dicapai tidak akan berlaku.


Tindakan ibubapa bukanlah dengan niat untuk memaksa kita.Tetapi, mereka lebih berpengalaman dalam memilih kerjaya.Mereka tahu akan kebaikan dan keburukan sesuatu kerjaya itu.Dalam hal sebegini, ibubapa haruslah ingat bahawa kita yang akan melakukan pekerjaan ini dan bukan mereka.Seberapa pastikah mereka bahawa kita tidak akan dapat melakukan sesuatu kerja dengan baik ? Contohnya, ibubapa kita mahu kita menjadi seorang doktor.Tetapi, kita mahu menjadi seorang pelukis yang terkenal.Ibubapa akan berfikir tentang hasil daripada kerjaya itu di mana kebanyakkan pelukis tidak dapat menjual karya mereka dengan harga yang tinggi.Tetapi, siapa tahu dengan kegigihan kita , kita dapat menghapuskan keraguan yang ada di dalam diri ibubapa kita .


Tetapi, bukan hanya kerana minat, kita berhak menentukan kerjaya kita.Ibubapa mengenali kita dari segi perwatakan kita.Mereka tahu kelemahan, kelebihan dan juga kekurangan kita.Mereka lebih mengetahui apa yang sesuai untuk kita.Kita tidak boleh disalahkan juga jika kita mahu mengatasi kelemahan dan kekurangan itu.Ianya juga untuk kebaikkan kita sendiri.

Kita juga harus tahu bahawa ibubapa menentukan kerjaya kita bukan hanya dari segi tarafnya sahaja. Mereka juga memikirkan tentang kehidupan kita.Mereka mahu kita hidup dalam keadaan yang senang.Ibubapa mana yang mahu melihat anaknya tidak berjaya ? Kebanyakan hal sebegini akan mencetuskan pergaduhan antara ibubapa dan anak.Dari itu, ibubapa berhak menasihati kita tetapi dengan cara tidak memaksa kita.Kita pula haruslah memikirkan dan mempertimbangkan tentang apa yang dinasihati mereka.Kita harus belajar daripada yang tahu.


Sama ada ibubapa atau kita yang menentukan kerjaya kita, komunikasi yang paling penting.Dengan komunikasi dan pendapat yang dikeluarkan daripada kedua-dua pihak akan membuahkan hasil yang baik.


Labels:

Karangan daripada Ummi Salamah!

Ibu bapa atau anda yang menentukan kerjaya anda? Bincangkan.

Kerjaya secara umum merupakan pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah. Pekerjaan yang dipilih pula merangkumi semua jenis terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan khas.

Pada masa dahulu, manusia terutama dari rantauan melayu mempunyai pilihan kerjaya yang terhad. Kaum lelaki biasanya bekerja di sektor perkilangan dan memancing manakala kaum wanita pula seperti sudah ditakdirkan untuk bekerja di dapur dan mesin jahit. Mereka biasanya memasak, menjahit dan bercucuk tanam.

Namun pada masa sekarang, banyak telah berubah. Selepas revolusi perindustrian bermula, pelbagai jenis pekerjaan mula wujud. Kita mempunyai terlalu banyak pilihan untuk dijadikan kerjaya, sehingga kadang-kadang terpaksa meminta pendapat ibu bapa untuk menentukan kerjaya kita.

Sebagai orang tua, ibu bapa merasakan bahawa merekalah yang berhak menentukan kerjaya si anak memandangkan mereka cukup berpengalaman untuk memilih kerjaya anak mereka. Mereka berpendapat bahawa si anak masih belum cukup matang dan mempunyai fikiran yang cetek untuk memilh kerjaya sendiri. Mungkin si anak hendak menjadi seorang peragawan, sedangkan ketinggiannya membuat dia tidak sesuai memilih kerjaya tersebut.

Memandangkan kegawatan ekonomi yang sedang melanda sekarang ini, ibu bapa mungkin merasakan bahawa mereka berhak memilih kerjaya anak mereka. Mereka yakin ianya boleh menjamin masa depan si anak kerana mungkin pilihan anak mereka hanya berdasarkan minat. Pilihan mereka pula berdasarkan taraf kehidupan.

Ibu bapa juga berpendapat bahawa mereka tahu apa yang baik dan buruk untuk si anak. Mentelah lagi mereka yang melahirkan si anak dan menjaganya bertahun-tahun. Mungkin mereka rasa terkilan kerana pada masa mereka muda, mereka tidak terdedah dengan pilihan kerjaya yang luas.

Si anak pula berpendapat bahawa dialah yang berhak menentukan kerjayanya sendiri. Tambahan pula, yang akan bekerja dia sendiri, bukan kedua orang tuanya.

Selain daripada itu, seorang anak tahu akan kemampuan, kebolehan dan minatnya. Bak kata orang dia punya badan, dia punya pilihan.

Mungkin seorang anak memilih kerjayanya kerana ia adalah sebagai cara untuk mengatasi kelemahannya. Dia menentukan kerjayanya dengan harapan bahawa pekerjaan pilihannya dapat menjadikannya seorang yang lebih bertanggungjawab dan berdikari.

Seorang anak seharusnya menghormati pilihan kerjaya orang tuanya. Jika dia tidak sependapat dengan orang tuanya dalam pilihan kerjaya, dia tidak patut mengutuk dan memandang rendah pilihan mereka. Sebaliknya, dia boleh menolak pilihan mereka dengan cara yang baik dan mengikut adab dan etika seorang anak.

Sebagai orang tua pula, ibu bapa seharusnya memberi peluang kepada anak mereka untuk menentukan kerjayanya, iaitu pilihan yang merupakan amat penting dalam menentukan masa depan dan mungkin sekali dalam seumur hidup.

Ibu Bapa Atau Anda Yang Menentukan Kerjaya Anda? Bincangkan.

Kerjaya seseorang itu sepatutnya berdasarkan apa yang dicita-citakannya, yang dipelajarinya atau yang diminatinya sejak kecil atau di bangku sekolah lagi. Akan tetapi, persoalan yang bakal saya bincangkan adalah siapa yang menentukan kerjaya individu tersebut?

Jika kita lihat dari perspektif individu itu, sudah tentu dia yang berhak dan yang paling layak untuk menentukan kerjayanya atau profesion yang dipilihnya sebagai cara mencari nafkah. Ini adalah kerana minat individu itu terhadap kerjaya yang dipilihnya. Minat merupakan satu aspek terpenting dalam sesuatu perkara kerana ianya yang mendorong individu untuk sentiasa bersabar dan tabah jika dibelenggu cobaan dalam kerjaya pilihannya.

Kerjaya pilihan individu juga seharusnya berdasarkan apa yang telah dipelajarinya di sekolah. Supaya dia dapat mengamalkan ilmu yang telah dipelajarinya. Ini memberikan individu tersebut sedikit sebanyak pengetahuan tentang kerjaya pilihannya.

Walau bagaimanapun, ada baiknya jika kita akur dengan kerjaya yang ibu bapa kita tentukan untuk kita. Seperti yang kita maklum, ibu bapa selalu menginginkan yang terbaik untuk anaknya dan sudah semestinya, kebanyakan pilihan ibu bapa kita adalah tepat. Akan tetapi, kita tidak seharusnya menyetujui dengan serta merta tanpa selidik.

Sebagai seorang anak, walaupun mempunyai impian tersendiri, dia mestilah mempertimbangkan impian ibu bapanya. Sebagai contoh, anak itu ingin sekali menjadi seorang pereka fesyen. Akan tetapi, ibu bapanya sentiasa mengimpikan supaya dia menjadi seorang guru. Dalam hal sebegini, anak tersebut haruslah mengutamakan impian ibu bapanya kerana menjadi seorang guru itu adalah baik dan dia boleh mereka fesyen pada masa lapangnya.

Walau apa sekalipun, pendapat dan perasaan anak dan ibu bapa harus diambil perhatian dan perselisihan dapat diselesaikan melalui perbincangan antara si anak dan ibu bapanya untuk menentukan kerjaya atau profesion.

Sunday, August 2, 2009

KARANGAN: IBU BAPA ATAU ANDA YANG MENENTUKAN KERJAYA ANDA? BINCANGKAN.

Kerjaya. Sesuatu profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah. Sesuatu lapangan kehidupan yang dijadikan wahana pendapatan seharian kita. Ia sudah tentunya sesuatu yang sering dijadikan bahan persoalan dalam jiwa-jiwa remaja yang akan melangkahkan diri ke alam pekerjaan tidak lama lagi.

Ke arah manakah yang ingin kita tuju? Apakah matlamat yang ingin kita capai? Apabila soalan-soalan tersebut berlegar di fikiran, sudah tentunya keputusan pemilihan kerjaya kita sepatutnya ditentukan oleh diri kita sendiri. Ini kerana ia adalah sebahagian dari kehidupan kita bukan kehidupan ibu bapa kita. Siapa yang memandu? Apakah yang dipandu? Dua persoalan harus memiliki jawapan yang kembali ke asal yang sama. Kita berhak memandu kehidupan kita sendiri. Ibu bapa harus faham yang anak mereka sudah cukup matang untuk berfikir tentang hal ehwal kehidupannya untuk melakukan pemilihan kerjayanya sendiri dan mereka hanya memainkan peranan sebagai penasihat yang patut kita utamakan. Setiap keputusan kita jikalau dipersoalkan atau dilakukan oleh ibu bapa kita sendiri, kita bagaikan patung yang melakukan apa saja yang disuruh. Bukankah kehidupan kita itu hak kita sendiri?

Seterusnya, seperti yang kita semua ketahui, minat itu amat penting dalam soal kerjaya. Tiada minat akan menyebabkan kita sering menukar kerja atau terus bekerja akan tetapi dalam keadaan yang tidak seronok. Minat terhadap sesuatu juga merangkumi soal semangat dan usaha kita. Sememangnya apa yang dicari dalam kerjaya kita bukannya minat tetapi hasilnya, namun, jikalau difikir secara rasional, dengan wujudnya minat kita terhadap kerjaya tersebut akan menjadikan kita lebih fokus dalam pekerjaan kita dan kita ingin melakukan yang terbaik secara ikhlas. Pendapatan yang diraih nanti seperti sesuatu yang cukup membanggakan dan memuaskan dan ini akan melahirkan kehidupan yang selesa dan membahagiakan. Bukankah ini yang kita hendakkan? Jikalau ibubapa kita memilihkan kerjaya yang tidak sehaluan dengan apa yang kita hendakkan, kita tidak akan mencapai kehidupan yang sedemikian.

Kita mengenal diri kita sendiri. Setiap kelebihan serta kekurangan yang kita miliki. Sebaliknya, ibubapa juga yang melahirkan, membesarkan, mengasuhkan serta mendidik kita sejak kecil lagi. Kita tidak berhak mengatakan yang mereka tidak mengenal diri kita. Akan tetapi, kita berhak menyatakan yang mereka tidak tahu di mana letaknya batas kemampuan kita. Mungkin ibubapa kita akan menyuruh kita menjadi seorang doktor dan kita boleh terima bidang tersebut akan tetapi kita tahu yang diri kita ini tidak mampu menghafal banyak teori-teori perubatan makanya, sebaiknya kita harus mencari pekerjaan yang lebih sesuai berbanding bidang kedoktoran seperi bidang kejururawatan dan sebagainya.

Namun, sebagai penghormatan, pertimbangkanlah kata-kata kedua orang tua kita itu dan seterusnya membuat pilihan. Ini kerana mereka amat kaya dari segi pengalaman dan ini boleh membantu kita melakukan keputusan. Mereka tahu selok-belok kehidupan dari segi pekerjaan mahupun hal persekolahan. Perspektif mereka sudah tentunya lebih baik berbanding kita yang masih cetek ilmunya tentang kehidupan di luar nanti. Kita harus akur yang kita akan berdiri dengan sendirinya nanti tanpa ibubapa kita sebagai sandaran atau perlindungan. Jikalau dikupas perkara ini, mereka inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka agar mereka mampu meyakinkan diri mereka yang anak-anak mereka mampu hidup dengan sendirinya. Sebenarnya, mereka sedang melakukan langkah-langkah yang menyediakan mereka untuk melepaskan kita ke alam luar nanti dengan memberikan pendapat mereka dan menyatakan keinginan mereka dan kita tidak seharusnya menganggap itu adalah sesuatu yang menghalang kita membuat keputusan.

Wujud juga ibubapa yang ingin merealisasikan impian mereka yang tidak tercapai menerusi anak-anak mereka. Mereka inginkan anak-anak mereka untuk menjadi seorang tukang masak misalnya kerana mereka meminati Asmah Laili atau mungkin mereka tidak dapat menjadi tukang masak. Keadaan ini boleh merumitkan situasi buat kita yang membuat pilihan dan akan mengakibatkan stres yang tidak sepatutnya mengiringi diri kita ini. Kita akur yang kita masih mentah dalam membuat keputusan namun, kita juga akur yang kita mempunyai hak melakukan keputusan kita itu.

Walaubagaimanapun, sebagai seorang remaja yang aktif, saya berpendapat yang ibubapa memainkan peranan yang besar dalam pemilihan kerjaya saya namun, yang membuat keputusan itu kembali kepada diri saya sendiri kerana kehidupan saya adalah tanggungjawab saya nanti (:

Ibubapa atau anda yang menentukan kerjaya anda? Bincangkan.

Kerjaya merupakan suatu perkara yang penting, yang mesti diceburi oleh setiap orang bagi meneruskan hidup dengan senang dan selesa. Ianya profesian yang dipilih sebagai cara mencari nafkah. Persoalannya, siapakah yang menetukannya? Kita sendiri atau ibubapa kita?

Setiap orang mempunyai impian untuk mempunyai kerjaya yang mereka inginkan apabila tamat pengajian, biasanya pekerjaan dalam bidang yang diminati. Dengan minat, seseorang dapat melaksanakan tanggungjawab yang ditugaskan kepadanya dengan sepenuh hati. Seperti kata pepatah purba Cina :"Carilah kerjaya yang kamu nikmati dan kamu tidak perlu bekerja dalam kehidupan kamu". Pemilihan kerjaya selalunya bermula apabila seseorang itu tamat pengajian sekolah menengah dan akan melangkah ke alam pembelajaran di pengajian tinggi.

Anak-anak akan memilih kursus yang mereka minati dengan harapan akan mendapat pekerjaan dalam bidang yang sama selepas tamat pengajian.Di sinilah bermulanya ibubapa mencampur tangan ibubapa dalam menentukan masa depan anak mereka, iaitu memilih kursus yang mereka rasa mempunyai masa depan cerah, senang mendapat pekerjaan dan gaji yang lumayan tanpa memikirkan minat dan kemampuan anak.

Pilihan ibubapa selalunya mengikut kepada kerjaya yang mereka kecapi, mereka mahu anak-anak mereka mengikuti langkah mereka agar anak-anak mereka juga akan berjaya seperti mereka dan hidup dalam kesenangan. Contohnya, seorang ayah bekerja sebagai seorang doktor selalunya ingin anaknya menjadi sepertinya pada masa depan. Ada juga sebahagian ibubapa ynag ingin anaknya menceburi bidang sepertimana yang diceburi salah seorang ahli keluarga terdekat, seperti pakcik, makcik ataupun sepupu. Ini berlaku apabila ibubapa melihat kepada kesenangan dan kemewahan hidup mereka. Terdapat juga ibubapa ynag inginkan anak-anak mereka meneruskan cita-cita mereka yang tidak kesampaian pada masa lalu.

Ibubapa selalunya merasa mereka lebih mengenali anak-anak mereka, dan mengetahui potensi dan kebolehan anak mereka dalam menceburi bidang yang mereka tentukan. Bagi ibubapa yang mempunyai anak yang bijak, mereka akan memastikan anak mereka mendapat kerjaya yang membekalkan gaji yang sangat tinggi tanpa mengendahkan kemampuan dan kemahuan anak.

Ibubapa merasa mereka lebih berpengalaman dan mampu mendidik dan mendorong anak-anak mereka bidang kerjaya yang memberikan masa depan yang indah. Pada mereka, cara ini dapat memupukkan minat kepada anak untuk memimilih kerjaya tersebut, iaitu kerjaya yang sesuai dengan keperibadian dan kemampuan anak-anak.

Kewangan adalah sebuah faktor yang membuat ibubapa tidak menggalakkan anak-anak memilih kursus yang mereka minati, seperti kursus perubatan yang menggunakan jumlah wnag yang besar. Mereka lebih rela anak-anak mereka mengikuti kursus yang biasa-biasa sahaja, mengikut kemampuan mereka.

Bagi anak-anak yang patuhi ibubapa mereka dan enggan mahu menyinggung perasaan mereka, mereka akan cuba bertungkus-lumus untuk mengikuti kehendak ibubapa mereka.Tetapi, adakah ini adil buat diri mereka? Mereka tidak akan berpeluang menunjukkan kemampuan atau bakat mereka dalam bidang yang diminati. Misalnya, seorang anak itu berbakat dalam seni lukis tetapi beliau dikehendaki oleh orang tuanya untuk menjadi seorang peguam. Sudah tentu beliau akan berbelah bagi apabila mengambil bidang perguaman.

Tidakkah ibubapa berfikir bahawa wang mereka dan masa anak-anak dibazirkan jika mereka memaksa anak-anak mereka untuk menceburi yang tidak diminati?Contohnya, anak-anak yang terpaksa mengikuti kursus pilihan ibubapa, mungkin tidak akan dapat mengikuti pelajaran yang tidak diminati dengan baik kerana tiada minat. Akhirnya, mereka akan bertukar kepada kursus yang digemari selepas setahun. Sudah tentu, ini pembaziran wang dan waktu.

Anak-anak lebih tahu bidang apa yang mereka minat, dan kemampuan mereka untuk mengikuti sesuatu kursus bagi mencapai impian mereka untuk menceburi bidang kerjaya pilihan mereka. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh supaya impian mereka direalisasikan.Mereka akan sentiasa mengharapkan sokongan dan dorongan dari ibubapa untuk menjadikan impian mereka itu sebuah realiti.

Ibubapa haruslah memberi kebebasan kepada anak-anak dalam membuat pemilihan untuk menentukan masa depan mereka.Jika ibubapa yang menentukan kerjaya untuk mereka, mereka akan berasa terkongkong dan juga marah kerana bagi mereka, mereka sudah cukup dewasa untuk membuat pilihan tersendiri mengikut minat tersendiri. Tetapi,anak-anak masih memerlukan nasihat dan bimbingan ibubapa bagi memastikan anak-anak tidak membuat pilihan yang salah supaya mereka dapat mencapai kejayaan yang benar. Dengan kejayaan yang dicapai olaeh anak-anak, ibubapa akan berasa lega dan gembira. Dengan kebebasan dan dorongan serta nasihat orang tua, tidak akan ada salah-menyalahkan antara anak-anak dan orang tua atau rasa marah di antara dua pihak.

Bagi saya, ianya adalah penting jika saya memilih kerjaya yang saya minati. Ianya kerana, dengan minat yang mendalam, saya mampu laksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sepenuh hati sehingga meraih kejayaan.

Ibu-bapa atau anda yang menentukan kerjaya anda? Bincangkan.

Di dalam kehidupan kita yang materialistik ini, semua manusia tentu sekali memerlukan wang bagi mengendalikan kerja-kerja harian. Dengan itu, kita perlu mendapatkan pekerjaan yang bergaji lumayan. Kelayakan yang tinggi pula diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan tersebut. Disebabkan itu, kita dapati ramai pelajar-pelajar kita tungkus-lumus belajar, lebih-lebih lagi sebelum mereka menduduki peperiksaan-peperiksaan besar seperti PSLE dan GCE O, untuk mendapatkan keputusan yang hebat lalu senang untuk mendapatkan pekerjaan yang diimpi-impikan.

Tetapi, yang selalu diperdebatkan adalah wajarkah bagi ibu-bapa memilih kerjaya anak-anak mereka sendiri? Ada daripada kalangan kita setuju dengan penyataan ini manakala ada tidak. Atau adakah anak mereka sendiri yang seharusnya memilih kerjayanya? Saya setuju dengan penyataan tersebut tetapi pada pendapat saya, ada juga baiknya jika ibu bapa yang menentukan kerjaya kita.

Ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menentukan corak kehidupan anak-anak dan merekalah pemimpin keluarga. Dengan itu, tentu sekali ibu bapa mempunyai pengalaman-pengalaman dan nasihat-nasihat yang dapat memilih kerjaya yang tepat bagi kita. Melalui pengalaman mereka sendiri, mereka tahu kebaikan dan keburukan kehidupan. Mereka lebih bijak dan berpengalaman daripada kita.

Siapa yang telah membesarkan kita kalau bukan ibu bapa kita sendiri? Semenjak kita dilahirkan lagi, kita telah diasuh dan dididik ibu bapa dengan baik. Jikalau kita membuat karena, merekalah yang sedia menghadapinya. Mereka hingga naik jelak dengan karena-karena kita. Ibu bapa juga adalah orang yang betul-betul kenal pasti dengan sifat buruk dan baik kita. Justeru, mereka tahu kerjaya apakah yang paling baik untuk kita.

Kemampuan ibu bapa juga memainkan peranan dalam menentukan kerjaya kita. Misal kata, untuk menjadi seorang doktor, kita mestilah ada kemampuan dari segi wang untuk melanjutkan lagi pelajaran. Menjadi seorang doktor bukan lagi satu pilihan. Disini, kemampuan ibu bapa manjadi faktor penentuan.

Bahkan tetapi, yang hendak ditentukan di sini adalah kerjaya kita. Ini adalah hidup dan masa hadapan kita. Tentu sekali kita punyai hak untuk menentukan kerjaya kita. Kita yang akan hidup dalam kerjaya yang dipilih kita, bukan ibu bapa.

Selalunya, kerjaya yang dipilih bedasarkan minat. Minat yang mendalam akan mendorong kita untuk bekerja dengan lebih rajin dan gembira. Jika ibu bapa memilih suatu pekerjaan yang tidak kita minati, kita akan bekerja dengan rasa malas kerana minat yang kurang. Dengan ini, bekerja pun tidak akan membawa hasil pada masa akan datang.

Walaupun ibu bapa kita yang mendidik dan mengasuh kita dari kecil lagi, kita lebih mengenal pasti diri kita. Mereka bukan kita. Manalah mereka tahu akan minat dan kehendak kita. Kita sendiri dapat menjangka keupayan dan kebolehan kita dalam suatu kerjaya. Dengan sebab itu, baik atas kita untuk menentukan kerjaya kita, bukan orang lain termasuk ibu bapa.

Akhir kata, sama ada ibu bapa yang menentukan ataupun kita yang menetukan kerjaya kita, kita mestilah fikir dengan lebih mendalam akan masa depan kita dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan. Membincang dengan ibu bapa tentang kerjaya kita dalam keadaan yang aman adalah satu cara yang positif.

IBU BAPA ATAU SENDIRI YANG MENENTUKAN KERJAYA KITA?

Dalam setiap yang kita lakukan haruslah dengan restu ibu bapa. Walaupun perkara itu kecil dan tidak yang dilarang mereka atau agama. Dalam hal yang dibincangkan ini, kerjaya bukan dimaksudkan perjalanan atau kemajuan dalam sesuatu lapangan kehidupan. Ianya bermaksud profesion atau pekerjaan yang dipilih untuk mencari nafkah.

Kita semua berhak menentukan kerjaya kita sendiri. Kerana yang mencari nafkah ialah kita dan pekerjaan yang kita lakukan haruslah yang kita minat dan yang akan kita buat dengan bersungguh-sungguh. Memang benar kita semua boleh lakukan apa saja sebagai kerjaya. Tetapi jika kerja itu dibuat secara
berulang-ulang dan tiada minat yang mendalam, lama-kelamaan, kerja itu akan menjadi bosan pada kita dan sifat sungguh akan mengurang.

Minat harus ada. Seperti yang dikatakan pada awalnya, restu ibu bapa mesti ada dan ianya teramat penting. Setiap ibu bapa dalam setiap keluarga semuanya berlainan. Semua kehendaknya dan pendapatannya berbeza. Dalam hal kerjaya sendiri, ada yang memberi anak mereka pilihan dan keputusan sendiri. Ada yang mahu anak mereka mengikut pilihan mereka kerana masa depan terjamin atau gaji yang akan didapati anak mereka dapat menampung kehidupan diri dan semua. Kita berhak menentukan kerjaya kita sendiri. Jika ibu bapa kita yang menuntukan, hanya kita sendiri sahaja boleh menukar fikiran mereka. Komunikasi yang baik dapat mengubah fikiran dan memberi kamu membuat pilihan sendiri.

Banyak yang mengatakan bahawa ibu bapa tahu kelemahan dan kemampuan kita kerena mereka membesarkan dan mendidik kita daripada kita kecil. Memang benar mereka lagi berpengalaman daripada kita yang mahu memilih kerjaya sendiri tetapi kita juga haruslah berpengalaman. Ada diantara kita yang mahu mencuba bermacam-macam kerjaya untuk pengalaman. Kita yang pandai membuat keputusan dengan pemikiran yang matang akan tahu tahap mana kemampuan kita dan apa kelemahan kita sebaik saja kita mengerjakan sesuatu dalam situasi yang berbeza-beza.

Kerjaya hanya pekerjaan yang dipilih untuk mencari nafkah. Maka kerjalah walaupun pekerjaan itu pilihan ibu bapa kita. Pengalaman itu bagus. Teruskan dengan pekerjaan itu dan belajarlah demi pengalaman dan perbaiki kelemahan. Jika tidak dapat menampung lagi dengan situasi dan suasana pekerjaan itu, haruslah beritahu ibu bapa kita yang memilih untuk kita kerjaya itu. Lalu pilih dan tentukan kerjaya kita sendiri.

Mereka berpengalaman, mereka mempunyai impian bagi setiap anak mereka. Tetapi impian itu tidak seharusnya menjadi wajib untuk anak itu laksanakan. Mereka sudah mencuba dan mendengar pengalaman hidup dan kerjaya tetapi sekarang masa dan giliran kita untuk mencuba dan rasa kehidupan dan adakan pengalaman. Kita yang berhak menentukan kerjaya kita.


Labels:

Karangan: Ibu bapa atau anda yang menentukan kerjaya anda? Bincangkan.

Siapakah yang berhak menentukan kerjaya kita? Persoalan ini mungkin akan timbul jika yang ingin melangkahkan kaki ke alam pekerjaan itu adalah seseorang yang dianggap masih muda. Jadi dalam kes pelajar-pelajar seperti kita, adakah ibu bapa, yang telah mengasuh kita selama ini, yang berhak menentukan profesion atau pekerjaan yang akan menjadi wadah bagi kita untuk mendapatkan nafkah? Atau adakah hak itu kepunyaan mutlak kita sendiri?

Lazimnya, masalah ini tentunya tidak akan timbul jika seseorang yang ingin bekerja itu sudah dianggap matang, berfikiran rasional dan bertanggungjawab. Seseorang yang matang dan berfikiran rasional tentunya akan dapat menimbangkan dengan baik konsekuensi-konsekuensi yang mungkin akan timbul dari pilihannya, manakala orang yang bertanggungjawab pula akan menanggung sendiri masalah yang akan timbul dan tidak membebankan orang di sekelilingnya pula. Contohnya, jarang sekali kita dengar tentang ibu-bapa yang menentukan kerjaya bagi anaknya yang sudah berumur tiga-puluh tahun ke atas.

Amatlah benar sekali jika kita katakan kalau yang akan melakukan kerja itu nanti adalah kita sendiri, dan bukan ibu-bapa kita itu. Dan amatlah benar kalau kita katakan jikalau kita yang lebih arif menimbang kemampuan dan kelemahan diri kita sendiri dan pekerjaan yang sesuai bagi diri kita. Tetapi lihat sahaja nanti natijahnya sekiranya kita menghadapi masalah dalam kerjaya tersebut. Adakah kita yang akan menanggungnya sendiri, atau adakah ibu-bapa kita yang turut menanggungnya?

Tidak dapat dinafikan, ibu-bapa lebih berpengalaman dalam kehidupan. Namun kalau kita amati, dalam zaman yang sudah berubah dek arus kemodenan ini, pengalaman-pengalaman tersebut mungkin sudah tidak dapat kita gunakan lagi. Jika pada masa dahulu pasaran pekerjaan begitu terhad sekali, pasaran pekerjaan dalam zaman sekarang ini begitu terbentang luas.

Yang penting sekali, tidak salah bagi mereka untuk memberikan nasihat kepada anak-anak mereka. Dalam hal seperti ini, ibu-bapa dan anak itu bersama-sama menentukan kerjayanya. Mungkin dengan buah fikiran orang lama dan baru, ianya akan memberikan lebih manfaat dalam jangka masa yang panjang.

Walaupun mereka yang telah mengasuh dan melaburkan wang bagi pendidikan kita, pemilihan kerjaya itu adalah hak mutlak kita asal sahaja kita mempunyai kematangan, fikiran yang rasional dan sikap tanggungjawab dalam diri kita kerana pemilihan penting itu akan menjejas masa hadapan kita. Jika kita masih ragu-ragu lagi, saya rasa peranan ibu-bapa dalam membantu dan membimbing itu masih penting sekali. Yang paling penting sekali, kitalah yang harus menentukan kerjaya kita dan sama sekali bukan mereka.

Jadi adakah kita masih tergolong dalam mereka yang masih ragu-ragu lagi? Tepuklah dada, tanya selera.

Saturday, August 1, 2009

Nasihat Mdm Surianah

assalamualaikum semua..

Saya ingin berkongsi mengenai nasihat yang telah diberikan oleh Mdm Surianah awal pagi tadi. hari ini, seperti hari-hari Sabtu yang lalu, guru-guru telah mengadakan kelas tambahan bagi pelajar-pelajar menengah lima. Malangnya, masih terdapat ramai pelajar yang datang lewat untuk kelas, malahan ada yang hadir tanpa berseragam sekolah. Seperti yang telah dikatakan oleh Mdm Surianah, guru-guru telah mengorbankan hari Sabtu mereka semata-mata untuk mengadakan kelas tambahan untuk membantu pelajar-pelajar yang bakal menduduki olevel tahun ini. Kita sebagai pelajar pula, harus lah menunjukkan rasa terima kasih kita dengan menghadiri kelas-kelas yang diaadakan dan menunjukkan sikap-sikap yang baik. bukankah kita ini pelajar tahun akhir, pelajar-pelajar contoh bagi adik-adik kita?
Mungkin selepas nasihat yang diberikan Mdm Surianah tadi, ada yang berasa tidak berpuas hati namun, nasihat tersebut memang tepat mengena sasaran kerana kita, menengah lima, masih belum mencapai tahap yang dapat dibanggakan. dengan ini, saya berharap, bagi yang kerap kali gagal menghadirkan diri bagi kelas-kelas tambahan tanpa alasan yang munasabah, hadirkanlah dirimu.

semoga nasihat yang diberikan oleh Mdm Surianah ini dapat memberikan kesedaran kepada kita semua termasuk diri saya yang lemah ini agar menjadi pelajar-pelajar yang lebih baik. amin.